Bertukarnya Teraju Persaingan PAS-UMNO

Last Updated: 15 July 2023By

Dr. Che Hamdan Che Mohd Razali
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub
Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Profesor Sains Politik, Universiti Sains Malaysia.

Sekiranya disandarkan kepada keputusan pilihan raya ke 15 ini, persaingan panjang UMNO dan PAS dalam politik di negara ini telah merubah lanskap politik Islam. Ternyata PAS telah mendapat sokongan dan mengambil alih teraju penguasaan Melayu-Islam di Malaysia dengan jumlah kerusi yang di menangi buat pertama kalinya melebihi UMNO dan Barisan Nasional. Ia merupakan satu petanda bagaimana pengundi secara khusus dan rakyat Malaysia secara umum lebih meyakini dan mempercayai PAS dalam mengemudi perjuangan Melayu-Islam. Kedua-dua parti Melayu utama ini telah melalui persaingan yang panjang dalam sejarah politik kepartian dan pilihan raya di negara ini dan telah mengalami beberapa fasa permuafakatn dan perseteruan. Mereka pernah bersama dalam Barisan Nasional pasca rusuhan kaum pada tahun 1969 namun PAS meninggalkan pakatan tersebut pada tahun 1977 dan meneruskan perseteruan. Persaingan ini bukan sahaja antara kedua parti ini sahaja, tetapi juga antara pakatan politik antara BN dan pakatan politik yang disertai PAS seperti Angktan Perpaduan Ummah, Barisan Alternatif, Pakatan Rakyat, Gagasan Sejahtera dan sekarang bersama dengan Perikatan Nasional. Selain itu, kerjasama juga terjalin selepas pilihan raya ke 14 dengan pembentukan Muafakat Nasional yang membawa kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan pada tahun 2020. Bermula dari masa tersebut, kedua parti ini berada dalam kerajaan dan menjadi sebahagian dalam kabinet di bawah dua perdana menteri.
Pembangunan dasar Islamisasi dan pendekatan Islam kerajaan Barisan Nasional semenjak dipimpin oleh Dr Mahathir telah meletakkan PAS sentiasa terkebelakang dalam persaingan politik. Namun, perubahan lanskap politik telah menyaksikan paksi sokongan Melayu-Muslim ini mula bertukar arah dan beberapa faktor dilihat menjadi daya pendesak kepada peralihan ini. Pertama, naratif tadbir urus yang lemah dan berlakunya penyalahgunaan kuasa dalam pemerintahan UMNO-BN menjadikan PAS sebagai alternatif. Ini secara tidak langsung mengenepikan stigma bahawa Melayu-Islam tidak mengambil berat perihal rasuah. Setelah pemimpin UMNO dijatuhkan hukuman yang melibatkan skandal rasuah dan ada kes yang masih berjalan, sokongan Melayu-Islam kepada PAS dan komponen didalam PN merupakan signal pendirian majoriti kaum ini.
Kedua, pasca pilihan raya ke 14, sentimen Melayu-Islam terancam menjadi momokan sehingga berjaya menyatukan PAS dan UMNO atas nama Muafakat Nasional. Hasilnya, mereka berjaya menjadi sebahagaian daripada kerajaan apabila kerajaan pimpinan Pakatan Harapan runtuh. Keberadaan PAS dalam kerajaan menjadi penyuntik semangat kepada jentera mereka untuk berusaha membawa agenda yang diperjuangkan selama ini. Walaupun dalam tempoh yang singkat dan pada masa yang sama berhadapan dengan pandemik Covid 19 dan juga beban ekonomi yang mendesak, ia secara tidak langsung advokasi Islam berada di bawah parti ini memandangkan UMNO sedang bergelut dengan masalah dalaman hasil kekalahan mereka dan juga kes mahkamah beberapa pimpinan. PAS menjadi jurucakap berkaitan dengan hal ehwal Islam melalui pemimpinnya yang menjadi Menteri di Jabatan Perdana Menteri hal ehwal Agama dan meneruskan aktviti mereka dengan lebih meluas lagi di seluruh negara. Sebagai parti yang mempunyai kekuatan di peringkat akar umbi, halangan bagi PAS selama ini adalah untuk menguasai institusi-institusi agama sudah tiada lagi. Maka peluang ini digunakan sepenuhnya untuk mereka melaksanakan agenda indoktrinasi parti.

Seterusnya, kita tidak dapat menafikan karakter PAS yang bukan hanya sebagai sebuah parti politik, tetapi juga sebagai gerakan Islam awal yang berada dalam masyarakat Islam di negara ini sejak awal merdeka. Kelompok lulusan timur tengah khususnya dari Mesir telah menjadikan PAS sebagai wadah perjuangan mereka. Pada masa yang sama, kedudukan sebagai guru di sekolah-sekolah agama milik kerjaan negeri yang banyak menggunakan silibus dari rantau sana memberi kelebihan dalam indoktrinasi parti. Selain itu, penglibatan mereka dalam bidang pendidikan yang digerakkan oleh parti sendiri umpamanya menerusi Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan rangkaian sekolah rendah dan menengah milik mereka telah berjaya memasyarakatkan PAS. Maka tidak hairan lah pertambahan pengundi dalam jumlah yang besar selepas Rang Undang-Undang Undi 18 diluluskan pada tahun 2019 telah memberi laba yang besar kepada parti ini. Mereka telah mula menuai hasil yang lumayan di negeri-negeri majoriti besar Melayu apabila bersama PN telah memenangi semua kerusi Parlimen di Kelantan (14), Terengganu (8) dan Perlis (3) manakala di Pahang PAS berjaya menawan tujuh kerusi Parlimen dan hanya tewas satu kerusi daripada 14 yang dipertandingkan di Kedah (13).

Selain itu, faktor ideologi dan pendekatan yang digunakan dalam pilihan raya ini juga memainkan peranan dalam membentuk naratif yang lebih berkesan untuk menarik sokongan pengundi. Perjuangan PAS sentiasa konsisten dalam meletakkan agenda Islam sebagai wadah mereka dengan sentiasa mempunyai justifikasi agama atas setiap tindakan politiknya. Kemelut politik yang melanda dengan elemen kaum dan agama sering dimainkan menjadi satu senjata bagi PAS untuk menagih sokongan atas lasan Melayu dan Islam diancam. Acuan ini berjaya diadun dengan baik bersama dengan promosi bagaimana PAS tidak mempunyai masalah rasuah dan salah guna kuasa berdasarkan pendakwaan di mahkamah. Ia memberi kelebihan kepada mereka kerana kebergantungan UMNO masih lagi kepada politik penaungan yang menyeru agar pengundi menilai rekod mereka berdasarkan pembangunan yang telah dilaksanakan. Ia tidak mampu menjadi satu naratif yang berkesan kerana majoriti Melayu-Muslim masih lagi melihat ancaman kepada mereka hasil naratif PAS bahawa pemerintahan PH 22 bulan merupakan satu musibah.

Kesimpulannya, legitimasi agama dan kaum yang melibatkan Melayu Islam sudah beralih dengan jelas kepada PAS dalam persaingan politik Islam di negara ini. Walaupun terdapat elemen ekstrim agama yang ditonjolkan dalam kempen-kempen pilihan raya yang menimbulkan keresahan di kalangan rakyat, namun tempoh singkat hari berkempen mampu ditangani dengan baik oleh pimpinan parti. Sebagai contoh, dakwaan Ketua Pemuda PAS Sik bahawa pengundi BN dan PH akan masuk neraka telah ditangani dengan cepat oleh parti beliau dengan keputusan direhatkan dari semua jawatan dan mengaku atas kesalahan tersebut.
Dominasi PAS dalam pilihan raya kali ini telah mencorakkan lanskap politik perkauman dan agama yang semakin menebal. Satu cabaran yang besar bagi politik Islam di negara ini adalah untuk memisahkan agama dengan kaum yang menjadi karakter utama dalam hubungan antara kaum dan agama.

latest video

Subscribe Our Newsletter

Subscribe now to get unlimited articles

Leave A Comment