Konflik PAS Kelantan Medan Uji Aura Pemimpin Baharu

Last Updated: 3 August 2023By

Dr. Che Hamdan Che Mohd Razali
Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM Cawangan Pahang, Kampus Raub
Prof. Dr. Ahmad Fauzi Abdul Hamid
Profesor Sains Politik, Universiti Sains Malaysia.

Pertembungan Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini berbeza berbanding Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dari segi perseteruan politik. Sekiranya perbezaan ini menjadi ukuran, ia bakal menjadi persaingan antara gabungan politik yang hebat.

Pertama, memandangkan PRU berlangsung lebih awal sedangkan enam negeri memilih untuk dilakukan berasingan, maka gema semangat dan sokongan politik kepartian masih lagi terasa, malah makin kuat apabila Parlimen buat kali pertama tergantung selepas keputusan diperoleh.

Suara tidak puas hati dalam kalangan pimpinan pembangkang dan penyokong mereka masih kedengaran apabila Pakatan Harapan (PH) bersatu dengan Barisan Nasional (BN) serta gabungan parti dari Sabah dan Sarawak untuk membentuk Kerajaan Perpaduan.

Kedua, PRN kali ini adalah ujian pertama dan terbesar bagi PH dan BN dalam menghadapi gelombang sokongan terhadap Perikatan Nasional (PN) yang bertambah yakin setelah berjaya mendapat jumlah kerusi di luar jangkaan pada PRU15. Justeru, PRN ini sudah tentu bakal memberi impak besar kepada kedinamikan politik Malaysia pada masa akan datang.

Walaupun penamaan calon selesai, seperti dijangkakan ia tidak dapat lari daripada konflik dan krisis melanda parti bertanding. Apa yang berlaku di Kelantan walaupun seakan-akan sudah ada jaminan penerusan penguasaan PAS, pertembungan antara kelompok tertentu dalam parti berkenaan sedikit sebanyak mengesahkan wujudnya pergolakan dalaman.

Bagi seorang pemimpin parti politik dan bekas wakil rakyat, kekalahan pada pilihan raya atau tidak dicalonkan menjadi episod hitam dalam perjalanan politik. Ketiadaan nama Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan Tan Sri Annuar Musa dalam senarai calon PN-PAS di Kelantan menjadi bualan hangat kerana ramai menjangkakan kedua-duanya akan masuk dalam gelanggang PRN kali ini.

Selepas tidak dicalonkan pada mana-mana kerusi Parlimen pada PRU15, Nik Mohamad Abduh yang juga bekas Ketua Pemuda PAS dan pernah menjadi Ahli Parlimen Pasir Mas dan Bachok diketepikan walaupun pada awalnya beliau berminat bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka.

Ia mungkin di luar jangkaan bagi mereka yang berada di luar lingkungan koridor kuasa parti ini, namun bagi yang maklum berkenaan pergeseran dalaman parti, ia dilihat tindakan terancang.

Episod ini menjadi lebih hangat lagi apabila terdapat rakaman video daripada adik bekas Menteri Besar Kelantan, Allahyarham Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat yang meletakkan kegagalan menjadi calon ini adalah angkara penyandang Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah.

Bagaimanapun, dakwaan itu segera dinafikan Mohd Amar, sekali gus menyatakan ia keputusan mesyuarat pimpinan terbabit dalam pemilihan calon PAS bagi negeri berkenaan.

Sebagai antara Naib Presiden PAS dan menjadi Timbalan Menteri Besar sejak 2013, pengaruh Mohd Amar adalah besar bukan sahaja di negeri Cik Siti Wan Kembang itu, bahkan dalam parti sendiri.

Tambahan lagi, sebagai calon utama menggantikan Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar, sudah tentu beliau perlu merancang untuk menyusun kepemimpinan lebih segar dan berwibawa untuk mentadbir Kelantan.

PN ketengah 23 muka baharu

Seramai 23 muka baharu diketengahkan PN pada PRN Kelantan kali ini dan PAS memberi peluang kepada beberapa tokoh baharu dan muda seperti Nik Bahrum Nik Abdullah dan Wan Rohimi Wan Daud.

Kedua-duanya ialah peguam aktif dalam parti selepas tamat belajar dan bersama dengan muka baharu lain bakal menjadi aset PAS untuk mengambil alih jawatan penting dalam pentadbiran.

Nik Bahrum akan bertanding di DUN Chempaka yang juga kerusi keramat bekas MB Kelantan yang selama dua penggal diwakili Ahmad Fathan Mahmood, namun beliau juga tidak dipilih untuk menjadi calon bagi PRN. Maka, dalam kes ini, Nik Mohamad Abduh tidak keseorangan gagal mendapat tempat sebagai calon.

Bagi gabungan PH-BN, seperti dinyatakan Pengerusi Parti Amanah Negara (AMANAH) Kelantan, Khalid Abdul Samad pada Jun lalu, adalah sukar untuk mereka menembusi kubu kuat PAS ini. Namun, ia menjadi satu peluang kepada gabungan ini untuk mengemukakan calon dapat diketengahkan dan menjadi medan latihan bagi mereka dalam PRN kali ini.

Contohnya, PH-BN mengetengahkan enam calon wanita, iaitu empat daripada BN dan masing-masing satu daripada AMANAH serta PKR. Antaranya Dr Hafidzah Mustakim daripada AMANAH akan mewakili PH-BN di DUN Kota Lama yang juga pernah menjadi calon Parlimen Kota Bharu PRU15.

Selain itu, nama besar daripada UMNO seperti Tengku Razaleigh Hamzah dan AMANAH seperti Pengerusi PH Kelantan, Muhammad Husain, Datuk Husam Musa, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah dan Ketua Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan tidak dicagarkan sebagai calon.

Apa pun strategi cuba diketengahkan, ia sedikit sebanyak akan memberi kesan negatif kepada pengaruh parti seperti AMANAH yang semakin tidak mendapat tempat di negeri ini lantaran pimpinan utama mereka memilih mengekalkan jawatan dilantik pada peringkat Persekutuan daripada menyertai pilihan raya ini.

Keperluan untuk reformasi

Peringkat awal kempen ini, boleh dikatakan agak selesa bagi PAS untuk terus menerajui negeri ini, manakala bagi pihak PH-BN kedudukan sebagai parti pemerintah pada peringkat Persekutuan perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Isu pemilihan calon ialah keputusan kolektif pimpinan parti masing-masing, sama ada pada peringkat pusat mahu pun negeri sudah tentu berdasarkan pertimbangan menyeluruh dalam menentukan calon bakal bertanding.

Ukuran pencapaian peribadi dan sumbangan nilai tambah kepada parti antara faktor utama. Keberanian pimpinan parti untuk berubah menongkah arus dalam penentuan dan pemilihan calon adalah keperluan untuk reformasi sesebuah parti politik.

Peluang ini harus digunakan sepenuhnya dalam pilihan raya seperti ini. Pemimpin naik berdasarkan legasi keluarga perlu membuktikan kepada pimpinan dan akar umbi keupayaan mereka dalam politik serta pentadbiran.

Sebagai parti politik, PAS tidak dapat lari daripada krisis kepemimpinan dan ia dibuktikan berdasar sejarah parti ini.

Ijtihad politik mereka juga adalah berdasarkan perebutan kuasa dalam politik negara, maka tidak hairanlah mereka akan terus relevan dengan menjalinkan kerjasama dengan mana-mana pihak dapat memberi peluang lebih cerah untuk berkuasa.

latest video

Subscribe Our Newsletter

Subscribe now to get unlimited articles

Leave A Comment